Dear 2023, Semalam saya ada terbaca sebuah entry yang saya tulis 5 tahun sudah dengan tajuk, Dear 2018. Dalam entry itu saya mengutarakan perihal keterimakasihan saya pada tahun 2017 yang telah banyak memberikan pengalaman menarik kepada saya di sepanjang tahun sebelum melangkah ke tahun baru. Tahun ini saya terpanggil untuk menulis lagi memandangkan hari ini kita semua telah berada di bulan terakhir tahun 2022. Soalan: apa sudah tercapaikah azam yang kalian tanam dalam diri sejak awal tahun dulu? Atau sama saja hangatnya dengan tahi kucing jiran yang kalian pijak tanpa sengaja? Azam saya sama saja seperti tahun sudah. Memandangkan satu dunia masih lagi bergelumang dengan Covid-19 (walaupun rata-rata sudah mula hidup dalam penafian), saya cuma berharap tahun depan akan jadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya dan kita semua akan kekal sihat dan cantik seperti dulu. Untuk siri peribadi, sejak kerajaan kembali membuka sempadan negara pada penghujung tahun 2021, saya ambil peluang itu untuk sekali lagi merentas KL-Germany-USA-Germany-KL dalam rangka lawatan sambil bekerja selain meraikan kelangsungan hidup di tiga-tiga negara tersebut. Ketika entry ini ditulis, saya sudah pun dua bulan berada di Hamburg, sempat melawat Helsinki untuk beberapa jam dan minggu sudah sempat meluangkan masa selama sehari di Amsterdam. Minggu depan jika tiada aral, saya akan sekali lagi terbang ke US untuk menyambut Krismas bersama keluarga dan ulangtahun saya di sana. Terima kasih kepada Tuhan kerana berikan saya kesempatan itu. Dari sudut berkarya pula, tiada buku baru saya yang diterbitkan tahun ini. Walau bagaimanapun, pada bulan Jun yang lalu saya telah ikut memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bersama pembaca-pembaca tersayang dalam rangka promosi buku2 lama. Hahah. Saya juga telah bertemu dengan beberapa orang penulis baru yang buku mereka saya dan rakan juri, Hani, pilih untuk memenangi Sayembara Fixi bagi musim yang ke 3. Judul-judulnya adalah seperti berikut: Tahniah dan saya harap kemenangan mereka memberi impak kepada dunia penulisan tanahair.
Saya juga telah siap menulis dua buah skrip pada tahun ini. Satu tahun 2021 dah siap sebenarnya tapi urusan pembayaran tu baru tahun ni settle. LOL. Saya tulis untuk Finas sebab dapat dana penulis skrip filem. Satu lagi saya tulis untuk Pertandingan Skrip untuk Filem Seram/Thriller anjuran Kuman Pictures & Entropy. Saya tak menang tapi berjaya dapat anugerah saguhati (bersama 7 skrip lagi di dalam Hot List mereka). Jadi atau tidak kedua2nya ditayangkan di layar perak, itu kita tunggu. Saya nak komen lebih2 pun bukan saya yang keluarkan duit. Huhu. Selain daripada itu tiada apa yang baru yang berlaku dalam hidup saya. Segala-galanya saya susuri dengan dingin dan lembap, sama seperti cuaca di Hamburg ini. Oh ya, Anwar Ibrahim akhirnya jadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 10. Mungkin itulah yang berbeza bagi semua rakyat Malaysia, kot. Nampaknya segala penat lelah dan jerih pedih beliau masuk-keluar jel (dengan tilam berintikan sperma diusung ke mahkamah) sejak tahun 90an dulu akhirnya membuahkan hasil. Tahniah! Dan dia pilih Zahid jadi DPM. So ya, alangkah lucunya negaraku ini. Oklah itu saja yang saya ingin tulis buat entry untuk kali ini. Sebelum saya akhiri, ingin saya kongsikan berita gembira (mungkin?) sedikit. Draf pertama manuskrip baru telah siap dan sekarang dalam proses suntingan pertama. Plotnya tentang time travel tapi kisah di sebaliknya saya tulis tentang penghijrahan. Tentang watak-wataknya yang ingin menukar diri dan berhijrah untuk menjadi yang lebih baik. Bukankah kita semua pun mahu hidup begitu? Jika ada rezeki, kalian semua dapat membacanya tahun ini setelah ia siap dicetak dan dijual nanti. Buat masa ini ayuh kita sama-sama berdoa agar ia menjadi kenyataan. Bismillah.
0 Comments
Leave a Reply. |
AuthorShaz Johar. Archives
December 2024
Categories |