![]() Hello pemirsa sekalian... Seperti yang sudah sedia maklum, tanggal 4 Jun hari tu sudah berlangsung sesi beramas-mesra antara saya dan pembaca tersayang bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di WTC. Setelah 2 tahun tidak bersama-sama menyambut, saya dapat rasakan sambutan kali ini tak kurang meriahnya dengan pengunjung yang tak putus-putus datang. Ada yang saya dengar dari luar KL, beratur dan bersesak demi mendapatkan karya penulis kegemaran masing2. Syabas dan semoga kita semua dihindarkan daripada sebarang penyakit. Tahun ini walaupun saya belum berkesempatan untuk mengeluarkan buku baru lagi (novel terkini masih lagi dalam proses pembikinan), saya rasa terharu kerana ada juga yang sudi datang membeli buku2 lama atau membawa buku2 lama untuk saya turunkan tanda tangan. Terima kasih kepada kalian kerana tak henti-henti menyokong. Doakan saya terus diberikan kesempatan untuk menulis dan menghasilkan karya yang lebih baik untuk masa-masa yang akan datang. Doakan juga saya terus jadi persona yang menyenangkan hari2 anda semua. Hujung minggu ini, saya akan muncul sekali lagi mencemar duli di booth yang sama. Booth 4126 #kembarafixi. Saya diberi slot pagi (11 dan 12 Jun, jam 10am) jadi faham2lah kalau saya tak bangun lagi tu, korang tunggulah sampai saya muncul. Huhu. OKlah, sebelum menutup tirai entry kali ini, di bawah disertakan beberapa momen yang sempat dirakam tadi untuk dibuat bahan, eh bukan, untuk tatapan kalian semua. Bergembiralah.
0 Comments
Semalam (pagi tadi di Malaysia) berlangsung sesi borak santai antara saya dengan E-Sentral sebuah portal e-book yang terkenal di IG Live mereka. Sesi berlangsung jam 10am 27 Jan KL time yakni 9pm 26 Jan di tempat saya berada kini (saya kini berada di Florida, USA) tetapi atas sebab2 teknikal, ia bermula lewat sedikit daripada yang dirancang.
Awalnya, saya menyangkakan tiada siapa yang mahu masuk kerana masih awal pagi di Malaysia dan hari Khamis pula, tapi alhamdulillah nampaknya ramai juga yang sudi mendengar saya berceloteh di pagi hari. Terima kasih kepada E-Sentral yang sudi memanggil saya untuk menjadi tetamu mereka kali ini (katanya yang pertama di IG Live) dan juga kepada semua yang menonton. Kepada mereka yang ingin menonton semula atau yang terlepas, kalian boleh ke IG E-Sentral di https://www.instagram.com/esentral_my/ untuk melayari video penuh. Jangan lupa juga dapatkan buku2 saya di E-Sentral (kalau yang berminat untuk membeli ebook) atau di Buku Fixi dan toko2 buku berdekatan anda. ps: Oh ya, kalian juga boleh dapatkan buku kecil ini di Shopee Buku Fixi dengan harga yang murah sebab Fixi kata mana yang tak habis akan dilupuskan. Buku ini ditulis dalam dua aksara, rumi dan jawi, menceritakan tentang kehidupan anak tempatan di bumi Eropah. Kougar2, Aku dan Sumpah berada dalam senarai. Alhamdulillah. Nampaknya, setelah sedekad menjadi penulis, kalian masih lagi tak jemu2 memberi sokongan. Saya harap semoga kerjasama ini terus berkekalan sampai bila-bila.
Terima kasih kepada semua yang meluangkan masa, tenaga dan wang (ini yang paling penting) di sepanjang tahun lepas untuk beli buku saya dan rakan2. Terima kasih kepada Fixi yang masih mahu terbitkan buku2 yang saya tulis. Terima kasih kepada Tuhan kerana bagi saya kesihatan supaya dapat terus menulis. Dan tentunya, terima kasih kepada dunia kerana bagi saya idea. Jasamu dikenang. Selamat menyambut tahun 2022 semua! Sudahkah anda mula mencatat azam baru yang bakal dilaksanakan? Atau copy paste saja azam lama yang tidak tertunai? Shaz Johar kembali lagi bersiaran dan entry blog kali ini khas didatangkan jauh dari bumi Florida, Amerika Syarikat. Bagaimana saya boleh tercampak di sini? Apakah kejutan yang cuba saya lakukan? Well, ini semua berlaku secara mengejut kerana ia tiada pun dalam perancangan asal. Niat asalnya sewaktu tinggalkan Malaysia dulu ingin bermain salji di bumi Hamburg, tapi apakan daya segala-galanya terpaksa dirombak pada saat-saat akhir. Kisahnya begini. Dua minggu lalu saya dan Kris mendapat perkhabaran tentang keadaan kesihatan ibu di sini. Ibu telah disahkan menghidap Acute Myeloid Leukemia dan perlu menjalani rawatan segera di hospital. Ketika blog ini ditulis, ibu masih lagi berada di hospital untuk menjalani rawatan chemotherapy dan rawatan-rawatan susulan selama 35 hari di sana. Dan apa yang lebih menyedihkan, kesihatan bapa di sini juga tidak menyenangkan. Bapa merupakan seorang pesakit dementia dan setelah hampir dua minggu berada di sini saya dapat lihat sendiri momen-momen ingatannya yang tiba-tiba berubah atau menyusut. Satu perkara yang membuat saya tersentuh adalah bila dia terlupa dia baru saja pulang dari melawat isterinya di hospital dan bertanya apa yang dibualkan oleh mereka berdua di situ. Hmmm... Semua pengalaman ini bagi saya amat berharga kerana ia banyak mengajar saya untuk lebih menyayangi dan menghargai setiap detik yang berlaku dalam diri sendiri, orang lain dan alam sekeliling. Bercerita tentang alam, sebaik saja mendarat di bumi Amerika dua minggu lalu, saya dikejutkan pula dengan kejadian banjir besar yang menimpa tanahair. Saya rasa amat berang kerana ini bukanlah kisah baru. Ini juga bukan ujian Tuhan atas dosa dan maksiat yang kita lakukan. Ini semua kesan kerakusan tangan-tangan jahat yang telah terlalu selesa hidup berlapikkan hamparan wang-wang korupsi. Ini semua hasil kerja mereka-mereka yang haloba. Dan siapa yang jadi mangsanya? Kita, rakyat/pacal yang hina. Kepada semua mangsa yang terlibat, takziah saya ucapkan. Ini pesanan saya, jangan jadikan tabung wang simpanan hari tua anda, atau seribu ringgit, atau sekotak makanan bertampal wajah pak-mak menteri yang dihulur oleh mereka-mereka itu cukup untuk membuatkan anda alpa dan membiarkan banjir demi banjir membawa maruah anda hanyut. Ingat pada setiap lelah dan keringat yang keluar setiap kali anda menolak selut dan lumpur di rumah. Ingat pada setiap nyawa keluarga atau kenalan yang hilang. Ingat pada setiap harta yang telah tumbang dan rosak. Ingat pada setiap najis cicak dan unggas yang dibasuh menteri. Ingat pada pembesar yang hanya datang untuk mengangguk dan menunjuk. Dan ingat juga pada golongan yang sesuka hati mengambil kredit atas kerja sukarelawan lain. Ingat semua tu. INGAT! OK. Dah cukuplah tu merentah. Saya sudahi entry kali ini dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Amin. Ps: Semalam sebenarnya merupakan hari jadi saya yang ke 13A++. Kena sebut 3A sebab 4 itu maksudnya mati. LOL. Anyway, kepada semua yang telah menghulurkan ucapan selamat, saya ingin ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Setiap kata-kata manis kalian itu akan saya tampal di dalam hati dan hadiah terbaik yang saya terima dalam hidup ini datangnya daripada kalian yang tidak putus-putus menyokong dan menyayangi saya seadanya. Masya Allah.
Hai! Shaz Johar kembali lagi dengan blog entry terbaru.
Bulan December memang sentiasa menjadi bulan kegembiraan buat diri saya. Bulan Krismas penuh hadiah, bulan kelahiran saya juga. Dan apa yang menambahkan lagi kegembiraannya adalah bulan ini saya berada jauh di Eropah sambil membalut tubuh dengan selimut dari bulu alpaca dan menikmati musim luruh yang dingin. Ya, setelah hampir dua tahun terpuruk di bumi Malaysia, akhirnya lepas juga saya ke sini beberapa minggu yang lalu. Perjalanan saya dengan menaiki KLM berjalan dengan lancar. Walaupun lebih banyak urusan dokumen yang perlu diselenggarakan sebelum terbang (berbanding zaman sebelum Covid), tapi alhamdulillah semuanya teratur dan pantas. Oh ya, pegawai imigresen ucap, "Terima Kasih" sewaktu mengecop passport saya. Abang tu dahlah hemsem, mixed race, jambang, shaved head, sado pulak beserta tatu penuh satu badan, jadi nikmat tuhan apa lagi yang kita nak dustakan? Ahaks! Kehidupan di sini juga so far menenangkan. Sudah lama tubuh ini tidak dihembus angin-angin dingin. Beberapa hari sudah bumi Hamburg ditimpa salji nipis dan saya jadi anak kecil yang terlebih teruja. Entahlah mungkin kerana sudah lama saya tidak menyaksikan keping-keping salju itu jatuh ke tanah dengan sayu. Mungkin ada nilai sentimental di situ yang saya saja fahami. Malangnya, salji mencair sebaik mendarat di tanah ibarat sekeping hati yang luka. Cuaca belum cukup beku untuk mereka terus kekal dan bersemadi. Mungkin jika lebih lama saya di sini, saya dapat bermain dalam timbunan salji tebal, membentuk lelaki salju yang tidak mahu dirinya dipandang enteng. Atau mungkin saya perlu panjat ke gunung mana2 jika mahu hasrat itu dikecapi. Mungkin la kalau tak lockdown. Sian. Ah, satu tips jika sesiapa yang mahu ke Eropah. Setakat blog ini ditulis, EU masih mengamalkan EU Covid Certificate Pass (ala2 MySejahtera) untuk ke tempat tertutup seperti dalam mall, offices, wayang, restoran, cafes, dan sebagainya. Pemakaian mask juga diwajibkan kecuali di tempat terbuka (macam time kau jalan2 kat luar kau pakai ke tak hukumnya makruh) dan juga sewaktu minum/makan takyahlah pakai. Unless kau nak pakai pastu gunting bahagian mulut kat mask tu, itu ikut la kreativiti atau kebangangan masing2. Akan tetapi, EU Covid Certificate Pass ni hanya untuk:
Hmmm.... so kepada tourist, apa yang perlu anda lakukan? Tunjukkan saja MySejahtera (proof dah 2x vaccinated) dan berdoa semoga orang yang periksa itu faham bahasa Inggeris. LOL. Baik. Sebelum saya mengakhiri blog ini, saya nak bagitahu tujuan blog ini ditulis sebab saya nak beritahu yang saya sedang menulis novel terbaru sebenarnya. Hihi. Cerita apa, biarlah rahsia. Saya juga baru saja habis menulis sebuah skrip filem. Dah hantar pun kepada pihak yang terlibat. Tapi sama ada diterima atau jadi ke tidak filem yang ditulis itu, itu sama2 kita doakan, OK? OK la. Itu saja buat kali ini. Semoga dapat peluang lagi untuk bertemu di entry yang akan datang! Tschuss! Dengarlah hai teman, dengarkan bersama Aku menulis bukan kerna nama... ShazJo. Selesai sudah dapatkan suntikan kedua Astra Zeneca petang tadi. Perjalanan yang cukup pantas sebenarnya. Appointment pukul 6 tapi datang sejam awal dan tahu2 saja dah selesai.
Terima kasih kepada semua tenaga kerja yang bertugas dan memastikan segalanya berjalan lancar. Sorry takde gambar “saya dah divaksin” sebab saya pergi sorang. Lagipun saya malas nak suruh orang amikkan gambar (sebab malas nak amikkan gambar orang balik. So win-win situation). Usai vaksin, saya singgah ke Kedai Fixi untuk ambil novel Kougar:2. Pertama kali pegang novel sendiri walaupun dah lama berada di pasaran. Jangan tanya saya nak jual ke tak sebab saya malas nak gi post office. Saya kalau boleh nak duduk kat rumah je dan keluar bila perlu. Atau terus keluar pergi KLIA dan tinggalkan Malaysia. Gitu. Kalau keadaan baik nanti, insya Allah saya akan buka order untuk sesiapa yang nak beli daripada saya beserta otograf dan kesan lipstick. But for now korang beli je la dekat Kedai Fixi. Saya dah sign few copies dah kat situ. Atau nak mur2 dan mudah lagi, beli saja di Shopee Buku Fixi. Atau kalau nak sangat jumpa dan dapatkan sign Shaz Johar in person, boleh saja tunggu di PBAKL tahun 3021 nanti. Semoga dipermudahkan. Hi pemirsa semua! Apa kabar!! Baik2 saja harapnya di musim2 PKP yang tidak berkesudahan ini.
Hari ni saya terpanggil untuk menulis blog dan entry kali ini untuk menceritakan tentang kelahiran buku baru saya sekali lagi. Ya, sekali lagi. Lepas beliau, beliau lagi, ya. Awas! Buku kali ini berjudul Kougar:2. Familiarkan tajuknya? Tentulah familiar, kerana ini adalah sambungan kepada novel pertama saya yang berjudul, Kougar. Novel yang dikeluarkan pada tahun 2011 dulu. Novel pertama Buku Fixi. Siapa sangka 10 tahun kemudian, saya masih menulis dan menghasilkan karya di bawah penerbitan yang sama. LOL. Kenapa disambung novel Kougar itu? Pertama, sebab saya sendiri yang rasa nak sambung dan mahu tribute kisah hidup Kisha dalam dunia yang serba pancaroba ini. Setelah 10 tahun, tentu ada banyak lagi ragam yang perempuan ini buat, bukan? Takkan nak biarkan tersia-sia begitu saja ibarat hidup aku yang stuck kat rumah sewa ni sampai nak amik spenda kat umah mak pun tak dapat2? Kedua, sewaktu saya tulis Kougar, saya belum tahu apa yang pembaca buku di Malaysia mahukan. Saya pernah hantar karya ni ke satu penerbitan (yang sekarang siar drama kat TV tu) tapi dia orang suruh saya tukar banyak benda, terutama tentang gaya penulisan, sampai saya rasa bukan saya yang tulis karya tu lagi. So saya peram dan tunggu peluang baru yang datang. Dan ketika muncul saudara Amir Muhammad (tuan empunya Buku Fixi) tanya, "Shaz ada cerita lain?" Saya terus jawab, "Ada," Dan bagi Kougar. Sebenarnya saya ada hantar karya lain kepada Buku Fixi sebelum Kougar, tapi dia tak berminat masa tu. Karya tu pun saya peram je jadi sejarah hingga kini. OK, itu cerita lain. Anyway, bermula dari sejarah itulah, saya terus tumpukan minat menulis yang Tuhan bagi ni sehingga kini. Dan waktu itu, saya pernah cakap sorang diri, "Kalau dalam 10 tahun akan datang aku masih lagi menulis dan diterima orang, aku akan buat sequel Kougar. Kosabajap. Haha!" *efek gelak untuk menyedapkan cerita. So maka terhasillah novel Kougar:2 untuk tatapan anda semua hari ni. Hebatkan saya? Anyway... setakat blog ini ditulis, versi cetak masih belum dijual. Versi e-book boleh dibeli di Google Play atau tanya saja kepada Buku Fixi dekat mana lagi karya agung ini berada. Kena beli online la kot sebab semua kedai tutup, kan. PKP kat Malaysia ni pulak mungkin tahun 3021 baru settle so korang tunggu je la dengan penuh sabar bila kita boleh sekali lagi jumpa untuk sain2 otograf dan berswafoto dalam sesi beramas mesra bersama peminat. Gitu. Peminat. Semoga dipermudahkan. Sebelum saya sudahi hujah saya kali ini sidang hadhirin sekalian, saya nak bagitau yang buku ni ikhlas saya tujukan kepada semua pembaca buku2 saya, terutamanya yang menyokong sejak Kougar dulu. Sudah sedekad saya menulis, anda masih lagi tak penat lelah bersama saya entah kenapa. Jujurnya, saya terharu betul. Jadi terimalah hadiah ini untuk kalian (tapi kena beli so kira hadiah untuk saya jugakla) dan dakaplah ia puas2. Semoga persahabatan kita ini terus kekal sampai ke langit. Amin. Sepanjang jalan kenangan kita selalu berganding tangan Sepanjang jalan kenangan kau peluk diriku mesra. Gitu. ps: semoga Kougar:2 diterima ramai lebih daripada karya2 saya yang lain. Dan kalau dah baca nanti jangan lupa review, ya! Saya suka baca review baik buruk daripada kalian untuk perbaiki karya2 yang akan datang! Bismillah. Hi you all, Just a quick note sebab dah lama tak update blog. Semalam Fixi ada buat contest kat Twitter untuk orang ramai buat fan art cover buku2 beliau yang dah sedia ada, and then pemenang yang terpilih akan dapat hadiah. Entah apa entah hadiah dia, aku tak ambik pot sangat. Anyway, salah satu pemenang yg dipilih tu telah buat kaver untuk Mental. Hihi. Cute cover dia. Korang tengoklah ni. Comey, kan? So di sini aku nak ambik kesempatan utk ucapkan syabas la kepada pemenang. Semoga anda dapat projek buat kaver buku satu hari nanti. Amin. ps: Kougar 2 sepatutnya keluar bulan ni. Tapi entahlah dah satu Malaysia laukdaun ni ha tak taulah apa jadik dengan buku aku, Kita nantikan je la dengan penuh sabar. Semoga dipermudahkan. Beberapa hari sudah saya ditawarkan untuk menjadi salah seorang juri untuk Sayembara Fixi untuk musim yang ketiga. Saya baru bangun tidur waktu itu dan dalam terpisat-pisat itu saya bagi persetujuan kerana saya yakin saya mampu melakukannya.
Saya berharap tindakan saya itu tepat dan akan mendapat manuskrip yang bagus-bagus daripada adik-adik penulis yang saya yakin ada ribuan cetusan cerita baru untuk dikongsi. Jadi kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi penulis dan memenangi hadiah yang ditawarkan, kalian boleh klik link di bawah untuk mendapatkan butir-butir penyertaan dengan lebih lanjut. Dan kepada siapa yang tak berminat menulis pula, tapi mahu menyebarkan utusan ini sehingga ke cakerawala, bolehlah kongsi link di bawah kepada teman dan rakan taulan tanpa rasa malu. Sama-sama kita menjadikan Sayembara Fixi Musim Ketiga ini lebih meriah daripada yang sebelumnya. Bismillah. Klik di sini: Sayembara Fixi 3 ![]() Hi Guys! First entry in 2021. Dah seminggu di tahun baru dan sama seperti tahun sebelumnya, tahun ini juga penuh dengan kecelakaan, bukan? Bertabahlah. Saya sendiri dah taktau nak cakap apa lagi yg berlaku dekat dunia ni, Mungkin betul dunia ni dah tua kerepot nak mampus tapi manusia jugak yg tak reti2 nak respek, tarah jugalah selagi apa yang ada. Sigh. Anyway, blog kali ini bukan untuk merentan. tapi nak share sesuatu. Tajuk di atas adalah sebuah certot yang ditulis untuk Teh Hari Rabu oleh saya bersama Buku Fixi. Katanya setiap Rabu, Fixi akan terbitkan satu certot untuk korang baca di laman Twitter dan FB beliau. Setiap certot ditulis oleh penulis2 Buku Fixi yang masih aktif, dan untuk keluaran yg pertama, certot saya yang dipilih. Saya tak perasan sebenarnya sebab Fixi tak tag saya dan saya nampak dah ada pemenang lain so saya ingat saya tak dapat. Huhuhuhu. Rupa2nya ada bonus (2 pemenang) untuk keluaran yang sulung. OKlah, tak mau tulis panjang2. Izinkan saya kongsikan certot itu di bawah untuk kalian. Selamat membaca dan semoga terhibur. DI SEBUAH LORONG GELAP oleh: Shaz Johar “Malam tadi aku mimpi setan muka macam Lisa Manoban,” kata Malek ketika semua orang sedang leka bermain telefon bimbit. Hurairah jadi orang pertama yang ketawa besar sebelum diikuti oleh Redha yang baru menarik kerusi untuk duduk. Bani waktu itu sedang bergaduh dengan kekasihnya dalam talian. “Apa yang Lisa cakap?” tanya Hurairah. “Dia kata antara kita berempat, sorang akan jadi pembunuh malam ni,” jawab Malek. “Pembunuh?” Bani yang baru menamatkan perbualannya di telefon, menunjukkan minat. Redha tergeleng-geleng. “Ada dia kata siapa yang kena bunuh?” celah Hurairah. Malek mengangkat bahu. “Tak ada pulak. Tapi dia ada bagi aku hint kat mana benda tu akan berlaku.” “Mana?” tanya Bani. “Di sebuah lorong gelap.” Mereka berempat memandang ke jalan yang penuh sesak di depan. “Huh! Dah sah-sahlah kerja kau!” jerkah Redha tiba-tiba. “Kau tabur minyak lagi kat tengah jalan, kan?!” tuduhnya sambil menuding keras tepat ke batang hidung Malek. Malek menepis. “Sejak bila pulak kau percaya dengan mimpi ni semua, Redha? Azam tahun baru kau nak percaya balik dekat benda-benda khurafat ke?” Redha menjatuhkan tangannya. Bani ketawa. “A ah, Redha. Kenapa kau tiba-tiba cuak sangat? Ke kau yang nak bunuh KERJAYA seseorang malam ni?” “Apa kau merepek?” Redha merungut. “Bukan ke kau ada simpan gambar drag sorang PU? Entah-entah maksud mimpi Malek tu bukannya kat mana, tapi siapa yang akan jadi mangsa malam ni? Sorang PU yang dulunya bekas pondan lorong...” “Nonsense,” Redha merungut. “Kalau pondan lorong, PL… hmmm...” Hurairah mengurut dagu. “Atau mungkin kau yang bakal jadi pembunuh tu, Bani?” soal Hurairah pula, cuba mengalihkan perhatian kepada orang lain. Bani mencebik. “Aku pulak?” “Ya lah, kaukan baru break up dengan girlfriend kau tadi? So mungkin kau yang akan bunuh dia sekejap lagi? Dia mungkin akan ambil lorong gelap dalam hidup dia dengan membunuh diri disebabkan kau?!” “Mulut kau...” Bani melempang angin, dekat dengan mulut rakannya itu. Hurairah mengelak. “Tapi aku rasa bukan aku. Aku rasa kau yang akan jadi pembunuh tu...” Dahi Hurairah berkerut. “Kenapa aku pulak?” “Sebab kau terlibat dalam Macau scam. Kalau aku bagitau polis, hidup kau akan merana dan ikut logik kau sendiri, kau yang akan ambil lorong gelap dalam hidup kau dengan bunuh diri. Kan? Amacam? OK tak teori aku?” Hurairah menelan liur. “Sejak bila kau jadi scammer ni, Hurai?!” tanya Malek dengan muka jijik. “Sejak kau buat affair dengan girlfriend Bani!” balas Hurairah. Malek tercengang. “Kau ingat aku akan bodoh-bodoh percaya girlfriend Bani tu pakai niqab sebab dia nak berhijrah? Bukan ke korang berdua dah kantoi? Tak gitu, Redha?” sindir Hurairah sambil mengesat bibir. Baru beberapa hari sudah Redha ada mengadu padanya yang Malek dan teman wanita Bani telah ditangkap khalwat sewaktu berdua-duaan di dalam kereta di sebuah lorong gelap. Malek memandang Redha dengan bengis. Bani yang tadi tersengih, menjeling tajam pula kepada Malek. “Kau kena tangkap basah dengan girlfriend aku? Aku bagi gambar PU tu kat Redha sebab selama ni aku mati-mati ingat dia yang cuba hancurkan hubungan kita orang!” Redha meneguk air lagi. “Aku tak ada kena-mengena dalam cerita ni, OK?!” “Of course kau ada kena-mengena dalam cerita ni! Sebab PU tu nak expose kilang kau yang jual bangkai kangaru itulah yang buat aku sanggup tolong kau! Kenapa kau rahsiakan perkara ni daripada aku?!” Masing-masing terdiam. Tiada langsung jeritan selamat ketika detik 12 tengah malam menjengah masuk. Tiada percikan bunga api pun di langit. “Kau orang nak tau apa lagi yang Lisa Manoban cakap dalam mimpi tu?” tambah Malek tak lama kemudian. |
AuthorShaz Johar. Archives
June 2023
Categories |