Di atas adalah antara cerpen-cerpen saya yang telah dibukukan, seperti cerpen Kopi 3 Rasa dalam Kopi, Bola vs Beautiful dalam cerpen Bola, Mata dalam KLCC dan Ya dalam Malam. Semua kumpulan cerpen ini adalah keluaran Buku Fixi dalam edisi terhad. Selain itu, saya juga menghasilkan Cerpen Shaz Johar bersama Buku Fixi yang mengumpulkan 22 buah cerpen yang menampilkan kisah watak-watak yang bersangkut-paut antara satu sama lain serta watak-watak di dalam novel-novel saya yang sebelumnya.
Bersama Moka Mocha Ink pula, saya ada memuatkan sebuah karya berjudul Nice dalam antologi cerpen Tandoori Nan Sekeping. Tema antologi ini yang berhawa mamakisme, dari penularan shyishah ke ramuan rahsia, dan dari Moscow hingga ke Calgary yang menarik minat saya untuk bekerjasama dengan mereka.
Di dalam Cerpen Hari Jumaat, sekali lagi saya bersama Fixi menyelitkan dua buah novel berjudul 4 Dara dan River Kwai. Kedua-dua buah cerpen ini boleh dibaca di laman Wattpad mereka iaitu di sini dan di sini. Manakala Cerpan II menggabungkan cerpan saya yang berjudul Lelaki sesuatu Itu bersama cerpan Cikgu Asyraf karya Dayang Noor bersempena Big Bad Wolf pada tahun 2015. Cerpan ini juga edisi terhad.
Selain Bahasa Melayu, saya juga ada menulis sebuah cerpen dalam Bahasa Inggeris yang diberi judul Asian Angel dalam antologi KL Noir: Red. Dua lagi cerpen berbahasa Inggeris saya ada ditulis dalam jurnal literari Anak Sastra isu pertama berjudul Ramadan Horror dan First of Syawal Collection. Boleh dibaca di sini.
Oh ya, baru-baru ini saya ada menghasilkan sebuah lagi cerpen bersama Cukaria, laman web Malaysia yang baru dilancar pada Januari 2017 yang bertujuan untuk menerbitkan cerpen baru dalam Bahasa Melayu setiap hari Isnin, Rabu & Jumaat (kecuali hari cuti am). Anda boleh baca cerpen saya berjudul Pendatang di sini.
Terkini: setelah tiga tahun tidak menulis sebarang cerpen atau nukilan pendek, saya bersama Buku Fixi sekali lagi bekerjasama menghasilkan sebuah novela dwi-aksara (rumi dan jawi) yang berjudul Seloka Anak Rantau. Projek ini sangat istimewa dan ada saya tulis di dalam blog sebelum ini. Jiak berminat, boleh dapatkannya di kedai Fixi dan ke Goodreads Shaz Johar untuk membaca sinopsis dan reviews tentangnya. Terima kasih!