Tahun 2022, di Tualangville. Sehari sebelum hari jadinya yang ke-13 adalah hari yang malang buat Sufian.
Dia ternampak sesuatu yang dia tak sepatutnya nampak apabila dia masuk ke dalam pondok yang disangkanya terbiar. Demi mengelak rahsia bocor, Sufian bukan sahaja dikejar dan diugut, malah ditolak ke dalam Sungai Tualang. Mujur dia selamat. Apabila keluar dari sungai, dan disambut seorang budak perempuan, Merah. Tapi Merah dan orang lain yang ditemuinya tidak tahu nama Tualangville. Mereka memanggil kawasan itu Kampung Tualang. Mereka juga tidak kenal apa itu telefon bimbit, dan bergerak dengan kenderaan yang merupakan bas bersaiz mini. Sufian berada di zaman bila sebenarnya? Dan dapatkah — atau mahukah — dia pulang? |
Aku lebih suka pada lelaki yang berkulit cerah sebenarnya, tapi melihat pada lelaki ini aku sanggup buat pengecualian. Lagipun orang kata kopi hitam itu yang biasanya buat kita susah tidur, bukan? – Kisha.
* * * Sepuluh tahun selepas Kougar yang pertama, Kisha kembali lagi dengan kisahnya yang lebih liar dan mencakar. Kali ini dia tersepit pula antara perhubungannya bersama suami, kekasih lama dan teman yang baru dikenalinya di online. Siapakah yang akan dipilihnya? Atau apakah dia mahu terus mengaum dan memburu? |
Kerana desakan hidup, Lela Palatute yang baru berusia 12 tahun telah dikahwinkan dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua oleh ibunya sendiri. Dia kemudian terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dalam sebuah banglo mewah yang diwarisi suaminya, jauh dari kehidupan lamanya sebagai remaja yang masih bersekolah.
Semasa menerokai banglo itu dan kawasan sekitarnya, dia telah bertemu seorang wanita tua yang mahu membunuhnya serta makhluk misteri di dalam loteng yang sering mengikutnya ke mana-mana. Enggan terus hidup diselubungi misteri, Lela merancang cara untuk kembali kepada kehidupan asalnya dan keluar daripada malapetaka yang sedang berlaku. |
Selepas 10 tahun menghilang, Danial kembali untuk mengutip sisa yang telah lama aku kumam. Pelbagai soalan mula muncul ketika mahu membuat keputusan.
Berapa lamakah jangka hayat sebenar untuk kita melupakan cinta pertama? Dapatkah aku terus jalani hidup dengan bahagia jika memilih untuk tidak lagi menyimpan rahsia daripada semua? 40s, single and lonely. Sejauh manakah kita mampu berlari jika tua makin mengejar kita? |
Sewaktu aku memulas tombol pintu untuk keluar, suara Abang terdengar lagi.
“Abang sanggup bunuh kau kalau kau conteng arang dalam keluarga kita. Simpan kata-kata aku ni dalam otak tu elok-elok.” Jantung berdegup kencang. Separuh otakku berkata yang aku tak perlu khuatir kerana Abang takkan sanggup membunuh adiknya sendiri. Dia tidaklah sebodoh atau sekejam itu. Tapi separuh lagi meminta aku terus berfikir dan berwaspada. Melihat karekter Abang, tak mustahil dia mampu lakukan semua itu. |
Sambungan Nota dan Nota:2
“Aku nak bagi story bagus kat kau ni. Memang ada orang yang cuba nak bunuh aku. Aku ada dapat surat. Macam notis. Macam nota. Macam ni ha.” – Amri Adnan. Kali ini Ray disogokkan pula dengan beberapa siri nota yang diterima oleh musuh tradisinya untuk dijadikan novel. Setiap satu nota itu mengandungi 117 patah perkataan dan kesemuanya berupa ancaman bunuh. Akibat rasa ingin tahu siapa pengirim dan apa kaitan angka 117 pada nota-nota itu, dia bersetuju untuk mencari jawapannya. Dalam pencariannya itu, dia telah menelusuri dua jalur yang berbeza: Antara memaafkan dendam lampaunya atau terus berperang dengan perasaannya sendiri. |
Sambungan novel bestseller NOTA.
"Betul cakap Mama tu, Ray. Siapa kita nak menidakkan kisah hidup orang lain?" - Lisa. Ray meraikan kejayaannya sebagai penulis setelah novel keduanya, NOTA, laris di pasaran. Kemudian, setelah dia membaca nota-nota baru yang diterimanya dari Intan Sofia, wanita yang membenarkan kisah hidupnya ditulis di dalam novel itu, dia menemui lebih banyak sisi gelap. Ini memberikannya idea untuk menghasilkan novel seterusnya. Dengan bantuan pembaca setianya Rumi, dia cuba menggali lagi kisah lampau wanita itu, mencari punca mengapa hidupnya berakhir dengan tragedi dan mahu memahami apa sebenarnya yang telah terjadi. Apa yang Ray tidak sedari, tindakannya itu boleh membahayakan hidupnya sendiri. |
"OK. Siapa dalam dunia ni yang percaya cakap orang gila?" — Rekha.
Dalam menghasilkan novelnya yang kedua, Ray cuba menyelami kisah hidup seorang wanita yang telah dituduh membunuh penculik anaknya dengan kejam. Kata Rekha, sewaktu polis tiba di tempat kejadian, wanita itu didapati sedang memegang tukul besi manakala baju dan mukanya berlumuran darah. Darah terpercik hingga ke siling, DNA mangsa ada di mana-mana tetapi tubuh mangsa hilang tanpa dapat dikesan. Ray telah diberikan dengan beberapa siri nota yang ditulis oleh wanita itu sendiri untuk mengetahui kisahnya yang sebenar. Tugas Ray, dia hanya perlu membaca nota itu hingga sampai ke penghujung. |
"Satu kampung ni tau pasal tempat tu. Orang-orang kat situ buat ajaran sesat. Sembah patung, sembah api, minum air kaki orang, seks liar, hisap dadah, sumbang muhrim, macam-macam lagilah kerja setan yang dorang buat."
"Mana Pakcik tau semua ni? Pakcik pernah pergi sana, ke?" "Tak." SANCTUARIA (baca: sang-tu-a-ria) membuka misteri satu kelompok manusia yang ingin mencari pegangan hidup yang lebih baik di satu dunia yang baru. Hidup yang lebih bebas dan bertoleransi. Tiada agama yang mengekang dan melarang. Tiada bangsa yang menang. Semua hidup dalam satu ideologi yang sama. Semuanya satu: Satu Sanctuaria. |
Bagi Maya, menjadi orang gaji di dalam rumah teres dua tingkat itu ibarat menyelia sebuah institusi mental. Tuan Jin menduakan isterinya, Puan Sierra mengharungi tekanan perasaan, Rashid bencikan anggota badannya sendiri, dan Rania seolah-olah cuba menjadi murtad!
Mereka semua gila. Mereka semua punya cerita. Tetapi kehidupan Maya berubah apabila dia dikejutkan dengan nama Raudhah. Dia jadi bingung dan terganggu. Siapakah wanita itu? Apakah kaitan wanita itu dengan dirinya? Dan mengapa nama itu seakan-akan mempunyai satu cerita yang sukar untuk dia ungkaikan? MENTAL mengisahkan tentang pencarian. Mencari sesuatu yang jelas di depan mata, mencari sesuatu yang bakal diberitahu, dan mencari sesuatu yang cuba dihindar. |
Bibi tahu dia cantik. Dia bukan BBL (Big Beautiful Lady) biasa. Hidupnya selesa dengan rakan baik yang sentiasa di sisi, dan juga kekasih gelap warga asing yang sangat setia.
Malangnya, keselesaan itu berakhir apabila dia berhadapan dengan dua misteri. Misteri ketika dia cuba mengenalpasti identiti pemilik telefon bimbit yang dia temui, dan misteri tentang kematian rakan baiknya dalam keadaan yang amat mencurigakan. Bibi cuba membongkar. Cuba menyelami rahsia yang disimpan oleh si mati dan cuba menyelinap zon TABU yang mungkin akan mengancam kebahagiaan dan keselamatan dirinya sendiri. Ya, Bibi bukan BBL biasa. Di sebalik pakaian yang besar itu, tubuhnya sarat menyimpan 1001 cerita! |
Kisha wanita moden yang konfiden dan bahagia dengan kerjaya dan kehidupan sosialnya. Berumur 40 tahun, dan masih bujang.
Ibunya di kampung mahu menjodohkannya dengan seorang duda bergelar imam. Tetapi minatnya lebih cenderung kepada anak muda berusia 25 tahun bernama Azril, yang bekerja di pejabat yang sama. Tetapi Kisha kekadang impulsif. Tanpa disedari, dia telah menerima undangan dari Datuk Emir untuk keluar berhibur di karaoke. Dari situ, mereka akhirnya terlanjur. Apakah kecuaian Kisha itu dapat dirahsiakan atau akan ada impak yang terjadi di dalam jangka panjang nanti? KOUGAR tidaklah seganas mamalia yang memburu di rimba. Tapi jika dicabar, tanpa segan-silu dia akan mengaum dan mencakar! |
Ini kisah dua wanita yang dihidangkan dalam satu buku. Kisah tentang citarasa mereka. Tentang bagaimana mereka cuba untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain walaupun mahu terus kekal berada di tepi norma hidup masyarakat Malaysia.
KOUGAR menceritakan tentang Kisha, seorang wanita yang telah berusia cuba mencari cinta dari lelaki yang lebih muda tetapi akhirnya terdesak untuk berkahwin dengan lelaki seusia yang bersembunyi di sebalik iman dan agama. TABU melalui perjalanan hidup Bibi, seorang wanita bersaiz besar. Dia percaya kekasih Afrikanya seorang lelaki yang sanggup menerima dirinya seadanya. |