Kelmarin, ketika satu dunia menyambut Hari Kasih Sayang, saya dikejutkan dengan berita tentang novel Aku, novel saya yang kesepuluh, telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Memetik laporan akhbar Malay Mail bertarikh 14 Februari 2023, novel ini dikatakan mempunyai kandungan lucah dan tidak bermoral yang boleh mempengaruhi tingkah laku peribadi serta bertentangan dengan nilai kesopanan dalam masyarakat Malaysia. Hmmm.
Klik untuk baca link Malay Mail di sini. Kepada sesiapa yang tidak tahu naskhah Aku ini wujud, ia mengutarakan tentang kehilangan, kesedihan, depresi, krisis pertengahan hidup, perbezaan, penerimaan, percintaan seorang lelaki bernama Ghazi dan di sepanjang 300+ muka surat yang ada, anda akan didedahkan dengan kisah kasih sayang Ghazi ini kepada anak, isteri, ibu, nenek, teman lelaki, abang angkat, kawan2, dunia dan Tuhannya sejak dia kecil sehingga dia menjadi seorang lelaki dewasa. Jadi ada dua persoalan yang timbul dalam kepala saya ketika membaca berita ini. Pertama, memandangkan kerajaan telah menyatakan dengan jelas untuk bersifat bigot dan tidak inklusif dalam menerima “nilai-nilai LGBT”, apakah dengan pengharaman novel Aku ini menunjukkan bahawa mereka juga cuba memadam sepenuhnya kisah LGBT rakyat tempatan dalam dunia kesusasteraan dan seni tanahair? Kedua, tidak terlintaskah di fikiran mereka bahawa membaca buku-buku bertemakan diversiti sebegini dapat meluaskan minda pembaca justeru membuka jurang perbezaan yang ada? Atau mereka memang sengaja mahu terus meminggirkan golongan LGBT yang memang sudah diketahui umum kebanyakannya dipinggir oleh keluarga sendiri? Benar, saya akui tahap kematangan setiap individu itu berbeza, sesuai dengan tag “Untuk Pembaca Matang” yang tertera pada muka depan novel ini. Tetapi menyifatkannya sebagai sebuah karya yang boleh meruntuhkan bangsa dan negara, itu pada saya agak keterlaluan. Ia seolah-olah menggambarkan kisah golongan LGBT tidak layak untuk diceritakan kepada umum dan harus diperam dan dipendam saja dalam gobok lama. Biar tiada siapa yang tahu. Biar mereput digerogoti ulat. Kepada yang sudah lama mengikuti perjalanan hidup saya sebagai penulis, mungkin mereka sudah cukup arif bahawa kesemua karya saya meneroka fobia sosial dalam kontemporari Malaysia. Ini termasuk isu identiti, manipulasi dan wacana dogmatik; dan hubungan antara kaum, agama dan generasi. Jadi tujuan saya menulis Aku (dan novel2 saya yang lain: klik di sini untuk karya-karya saya) bukannya untuk mengaut kontroversi semata atau menyebarkan doktrin sesat, tetapi sebaliknya mahu pembaca sama-sama mengutip pengalaman dan menolak sempadan imaginasi mereka tanpa gentar. Jadi apakah itu salah? Apakah siraman idea-idea itu menakutkan? Mungkin saya perlu sudahkan saja kisah-kisah saya “yang tidak bermoral” ini dengan mematikan wataknya dalam keadaan hina. Atau setidak-tidaknya membiarkan dia hidup dalam penyesalan setelah menghidap HIV/AIDS atau diserang strok. Mungkin kisah sebegitu berupaya untuk tidak meruntuhkan akhlak bangsa dan negara. Mungkin. Panjang pula sesi curhat kita kali ini. Apa-apa pun, Oscar Wilde dalam tulisannya pada naskhah Dorian Gray pernah berkata, “Buku yang digelar tidak bermoral pada dunia adalah buku yang mempamerkan keaiban dunia itu sendiri.” Renung-renungkan dan selamat bermadani. ps: Oh ya, sebagai pembaca... pernahkah anda membaca karya bertemakan LGBT dan merasa nilai-nilai kesopanan dalam diri anda sebagai rakyat Malaysia ditentang?
0 Comments
|
AuthorShaz Johar. Archives
February 2024
Categories |