Pejam celik pejam celik esok lusa kita akan melangkah ke tahun baru. Banyak perkara yang telah berlaku di sepanjang tahun ini, juga di sepanjang dekad yang lalu, yang bila kalau dikenang-kenang semula, akan buat kita tersenyum sendiri pada setiap detik pahit manis yang sudah kita ludah dan hirup di dalam badan. Semuanya berlaku dengan pantas tanpa kita sedar dan hari ni, pada hari lahir saya ini, saya ingin mengambil peluang yang ada untuk melakarkannya dalam jurnal kehidupan.
Tahun 2011 bermula kerjaya saya sebagai penulis sepenuh masa. Saya ingat lagi pelancaran Kougar (kisah wanita matang bersama anak ikan) di Central Market bersama rakan penulis, Khairulnizam Bakeri dan Ridhwan Saidi petang itu. Betapa kaget bertemu terujanya perasaan saya (kami bertiga, tentunya) menunggu reaksi pembeli. Apakah saya akan diterima, atau buku saya akan dibakar dan dicincang dengan kejam oleh mereka-mereka yang hadir. Jujurnya, saya sebelum itu memang tidak tahu apa-apa pasal novel Bahasa Melayu, baik daripada segi jualan mahupun penerimaan masyarakat. Saya jarang membaca atau membeli novel BM waktu dulu kerana memang kurang berminat dengan apa yang di depan mata, jadi saya tak pasti apa pandangan mereka tentang Kougar. Dan ternyata, dengan sambutannya yang ala kadar setelah beberapa minggu berada di pasaran, telahan saya benar. Pembaca waktu itu tidak tahu pun Kougar itu apa. Malah ada yang menyebutnya Kaugar. Itu lucu. Tapi semua tu saya tolak tepi kerana apa yang penting Kougar telah memberikan saya semangat untuk terus menjadi penulis. Terutamanya bila ia tiba2 memenangi anugerah Novel Terbaik dalam Selangor Young Talent Award untuk tahun itu. Satu-satunya benda yang saya tak pernah impikan telah berlaku tanpa dirancang. Sedangkan Hari Sukan sekolah pun saya selalu kalah, lucky draw kat ofis pun penah menang sekali je seumur hidup (itupun pen), ni tetiba tulis novel sebijik pula terus dapat award. Kegilaan apakah yang sedang berlangsung? Kemudian, dalam tahun yang sama, muncul pula Tabu (kisah perempuan bersaiz Lizzo), novel saya yang kedua. Majlis pelancaran diadakan di Boco Shah Alam waktu itu bersama penulis paling popular Malaysia, Nadia Khan. Nadia lancarkan novel pertamanya berjudul Kelabu, novel yang terus bersarang di hati peminat sehingga kini. Manakala Tabu, sama seperti Kougar, tidak berapa dapat diterima oleh penggemar-penggemar buku seperti yang diharapkan. Mungkin penulisan saya terlalu matang untuk pembaca waktu itu, atau mungkin ceritanya tidak best, atau mungkin kedua-duanya sekali. Entahlah. Sekali lagi, itu semua tidak menghalang saya untuk bangkit dan terus menulis. Dan tahun 2012, dengan lahirnya novel ketiga berjudul Mental (kisah orang gaji yang melayan pesakit2 mental), kerjaya saya sebagai penulis akhirnya telah betul2 diterima oleh pembaca sehingga ke hari ini. 2013, Cerpen Shaz Johar pula lahir, kumpulan cerpen-cerpen saya dalam sebuah buku. 2014, Sanctuaria pula (kisah penganut ajaran sesat). 2015, 16 dan 17, saya cuba-cuba pula menulis trilogi dengan Trilogi Nota (kisah dilema penulis yang ingin mencari nama). 2018 dengan Salafi (kisah perhubungan dan pertembungan dua agama) dan akhir sekali, 2019 bersama Aku (kisah lelaki gay yg sudah beranak bini). Begitulah. Sepanjang penglibatan saya dalam bidang penulisan, sempat juga saya menulis cerpen, cerpan, certot, dalam BM, dalam BI, guna nama sendiri, guna pseudonym, dan macam2 lagi. Banyak juga jika saya mahu tuliskan di sini. Tema atau topik yang saya paparkan juga berbeza setiap satu. Saya sengaja pilih topik-topik yg berbeza, yang kalau boleh belum ditulis oleh penulis bahasa Melayu lagi. Saya tertarik pada cerita-cerita yang sering kita terlepas pandang atau sering kita momokkan sebab tidak berlaku pada diri kita sendiri. Iya, manusia mudah terlupa yang bumi ni bukan berputar untuk dia sorang saja. Saya faham itu. Apa-apa pun, tahun hadapan saya akan buka lembaran baru dengan novel yang seterusnya pula. Saya sebenarnya sudah habis menulis sebuah novel dan kini dalam peringkat revisions. Temanya berkisar tentang child marriage dan insya Allah, kalau ada rezeki dapatlah kita sama2 membacanya. Tapi sebelum itu, saya ingin war2kan kepada semua yang saya akan muncul dengan sebuah projek mini bersama Fixi sebelum novel tentang child marriage ini keluar. Judul projek masih lagi rahsia dan tarikhnya juga masih belum boleh diberitahu. Saya suka dengan projek ini sebab ia unik dan saya harap kita sama2 dapat berkongsi kegembiraannya sedikit masa saja lagi. Itu saja serba sedikit pengalaman saya sepanjang lapan tahun bergelar penulis. Bukan mudah untuk saya berada selesa seperti hari ini. Banyak juga cabaran dan memori-memori jahat yang terpaksa saya lalu. Kepada semua yang masih tak jemu-jemu menyokong, yang tak sabar menanti karya-karya saya, terima kasih tak terhingga saya ucapkan. Tanpa kalian siapalah Shaz Johar. Kepada penerbit tersayang, terima kasih kerana sering memberi ruang dan peluang kepada saya sejak dulu. Semoga Fixi terus sukses dan terus menerbitkan karya-karya yang digemari ramai. Dan kepada kawan2 dan kenalan, baik yang dekat di hati atau yang cuma muncul di alam maya, terima kasih kepada semua ucapan manis yang diberi. Segala memori indah bersama anda akan saya pahat dalam hati. Segala memori yang jahat pula, kita doakan ia pergi jauh dan berjanji takkan kembali lagi. Happy New Year and may God bless us all. Assalamualaikum.
0 Comments
|
AuthorShaz Johar. Archives
December 2024
Categories |