Hi all. Dah lama tak post any entry here.
Well, seperti yang telah dijanjikan, ini sedikit petikan daripada novel baru saya yang sudah selesai ditulis tapi masih belum dihantar ke publisher lagi. Working title nya, Sumpah. Ia mengisahkan tentang perjalanan hidup Lela Palatute, seorang anak gadis belasan tahun bersama suami yang jauh lebih berusia, ibu yang toksik, lembaga hitam yang sering menghantui hidupnya dan rakannya, seekor kucing putih yang boleh bercakap. Ini cubaan saya untuk menulis kisah hantu. Harap2 dapat diterima ramai. ps: reviewers, kalau anda nak jadi beta readers untuk manuskrip ini, bolehlah tinggalkan komen dan link pada review anda yg sebelum2 ini untuk saya baca. terima kasih dan selamat membaca! Malam itu kami berdua tidur tanpa mengucapkan selamat malam seperti biasa. Pak Hadir sudah terkangkang dengan kepala menghadap ke dinding sementara aku masih lagi termenung, menghala ke langsir, memandang Mak yang sedang tekun membelek-belek beg tangannya dekat dengan pintu dapur. Dia sedang mengeluarkan segala sampah dan tisu atau surat yang tidak penting dari dalam beg itu untuk dibuang. Mak menunduk membelakangkanku. Sejak dia pulang dari kerja, hingga ke makan malam, hingga ke waktu itu, dia tidak langsung membuka mulut baik dengan aku atau dengan Pak Hadir. Cuma sepatah-sepatah saja yang disebutnya jika kami meminta apa-apa. Niatku untuk memberitahunya tentang apa yang baru berlaku bersama Pak Hadir juga mati. Aku tahu itu rahsia rumah tangga kami tetapi aku mahu juga bertanya apakah kejadian tadi itu perkara biasa bagi pengantin baru. Apakah dia juga pernah melakukan hal yang sama dengan Ayah sewaktu mereka berdua baru-baru kahwin dulu. Kalau boleh, aku mahu tahu semuanya hal berumah tangga. Pak Hadir terus mandi selepas tangannya terpegang najis aku itu. Lama dia dalam bilik air, entah apa yang dilakukannya. Dia membiarkan aku mencangkung seorang diri, berbogel di dalam bilik dengan bontot yang belum dicebok. Mungkin dia menyesal mendapat seorang isteri yang pengotor. Atau mungkin dia termenung memikirkan mengapa aku begitu bodoh, tidak tahu melayan suami. Aku tidak kisah jika dia mahu mengejekku sehingga ke akhir hayat. Aku cuma bimbang jika dia juga bakal jadi seperti Mak, tidak mahu memandangku sama seperti dulu lagi. Aku sudah tiada siapa-siapa. “Mak! Mak!” panggilku selepas mengeluarkan kepala dari langsir. Mak yang masih tekun memunggah barang keluar dari beg tangannya tidak langsung mahu menoleh. “Mak!” panggilku dengan lebih kuat. Geram. Aku tidak mahu Pak Hadir terjaga tapi sama seperti tadi Mak hanya memekakkan telinga, tidak mahu peduli. Lalu aku keluar dari bilik dan berjalan perlahan-lahan ke arahnya. Mak tak suka jika aku tiba-tiba menyergah kerana dia memang mudah melatah jadi sepanjang aku berjalan, mulutku juga tak henti-henti memanggil. “Mak! Tak dengar ke orang panggil?” soalku lagi. Bahunya aku tepuk. Dia menoleh perlahan. Dalam samar-samar cahaya itu aku dapat lihat matanya merah. Wajahnya bengis. Dia memandangku dengan penuh jijik. “Kau nak apa?” bisiknya tapi nadanya agak keras. Suaranya juga lain. “Tadi Pak Hadir datang...” kataku sambil membetulkan duduk. “Datang apa?” Wajahnya makin berkerut. “Datang kat Lela macam yang Mak cakap.” Dia membetulkan kain kembannya yang hampir terlucut. Rambutnya yang terburai, disuak ke atas. “Jadi?” “Dia pegang badan Lela, buka baju Lela.” Matanya memandang tepat ke dalam anak mataku. Wajahnya kekal serius. “Dia duduk. Lela berdiri. Kita orang telanjang. Lela tak tau nak buat apa masa tu, Lela kaku…” Bibirku mula bergetar, diikuti dengan tangan sebelum berjangkit ke seluruh tubuh. Aku mahu menangis tetapi ceritanya belum habis. Aku tahu Pak Hadir tentu marah kerana membocorkan rahsia kami tapi aku rasa Mak perlu tahu apa yang berlaku. Aku mahukan nasihat daripadanya. “Mula-mula Lela tak nak, Lela takut. Tapi lepas tu Lela cuba juga ikut apa yang dia mintak. Lela biarkan je dia sentuh...” Air mataku tiba-tiba menitis. Aku masih ingat lagi bagaimana tangan Pak Hadir merayap ke celah kangkang, menjelajah ke setiap inci kulit. Suaranya yang mengerang masih jelas di telinga. “Lela takut, Mak…” Mak kemudian tersenyum. Wajahnya menyeramkan. “Lela takut, Mak…” ulangku sekali lagi. “Takut apa? Kau buat apa tu?” Tiba-tiba aku terdengar suaranya dari belakang. Aku menoleh dan terkejut apabila melihat Mak sedang duduk di atas tilamnya sambil memerhatikanku dengan pelik. “Kau bercakap dengan siapa tu?” soalnya lagi sambil membetulkan kain kembannya yang hampir terlucut dan menyuak rambutnya yang terburai. Darahku berderau satu badan. Aku pantas berdiri dan memetik suis lampu dan sebaik seluruh rumah terang-benderang, perempuan yang seperti Mak, yang berbual denganku tadi, telah tiada di tempatnya. Badanku makin kuat menggigil selepas itu. “Kau mengigau lagi, eh? Berapa kali nak cakap, basuh kaki dulu sebelum tidur?” marah Mak. Dia mendengus sebelum menepuk-nepuk bantalnya dan rebah semula. “Tutup lampu ni. Orang nak tidur, esok pagi kena kerja. Kau ingat semua orang macam kau, boleh tidur sampai tengah hari?” rungutnya dengan mata yang terpejam. Aku memetik suis lampu semula. Rumah serta-merta gelap selepas itu tetapi aku dapat rasakan perempuan itu masih ada di tempatnya tadi sedang tercegat berdiri. Dan sedang tersenyum penuh ngeri.
1 Comment
|
AuthorShaz Johar. Archives
December 2024
Categories |