Hampir dua bulan yang lalu, dunia telah dikejutkan dengan pengharaman novel Aku, novel saya yang kesepuluh, oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Novel itu dikatakan mempunyai kandungan lucah dan tidak bermoral yang boleh mempengaruhi tingkah laku peribadi serta bertentangan dengan nilai kesopanan dalam masyarakat Malaysia. Ya, sure.
Waktu itu saya merasakan kerjaya yang saya cebur sejak dulu bagaikan telah diracik sehingga lumat. Saya keliru. Apakah akan ada lagi aral pada setiap kata yang saya coret di masa-masa akan datang? Apakah saya akan ditimpa dengan hukuman yang lebih berat? Apakah benar saya telah memudaratkan kesopanan masyarakat Malaysia? Mujur segala persoalan itu dapat saya tepis dengan pantas seperti agas yang berterbangan. Justeru, saya tidak akan berhenti menulis dan akan terus bangkit dengan azam dan iltizam yang baru. OK tak intro ni? LOL. Saya sebenarnya nak mewar-warkan tentang kelahiran karya baru. Itu saja. Karya ke-12 berjudul TUALANG yang akan berada di pasaran kelak. Setelah tahun lepas saya menyepi tanpa buku baru, tahun ini saya hadiahkan novel setebal 300+ muka surat kepada semua. Bismillah! Sedikit cuplikan tentang TUALANG. Ia berkisar tentang lima watak utama di satu kawasan bernama Kampung Tualang (nama Kampung Tualang kemudian ditukar ke Tualangville oleh MP di situ agar ia kedengaran lebih urban) yang mampu berbolak-balik merentas masa (depan dan silam) demi merubah nasib hidup. Sufian, seorang remaja tempang yang tidak mahu terus menjadi bahan lawak orang kampung, Saleha, seorang wanita yang celaru emosinya setelah ditinggalkan suami, Fakih, mangsa letupan kilang mercun, Merah, anak yang cuba menghalang bapanya membunuh diri dan Morgan, hero. Secara ringkasnya, dalam novel ini pembaca akan dibelai dengan kerenah kelima-lima karekter yang disebut (serta beberapa karekter lain), berputar dalam satu haluan yang sama, penuh simbolik penuh persoalan, tentang apakah benar ada kehidupan yang lebih baik menunggu kita di luar sana. Atau semua itu hanya sekadar satu ilusi. Bagi yang berminat, jangan lupa untuk mendapatkannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bermula 26 Mei 2023 nanti. Atau tunggu saja pengumuman yang akan dibuat oleh pihak penerbit (@bukufixi) di laman sosial beliau. Sama seperti novel-novel saya yang sebelum ini, saya berharap novel TUALANG juga akan dapat diterima ramai dan laku keras. Insya Allah. ps: saya di sini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca yang masih lagi terus mahu menyokong. Tiada kata lain yang mampu saya ucap selain itu. Awak buat saya segan. Hashtag anda sopan, saya segan
0 Comments
|
AuthorShaz Johar. Archives
February 2024
Categories |