Entry kali ni a bit personal I think. Saya tulis sambil dengar lagu 100 Years daripada Five for Fighting. Lagu ini keluar pada tahun 2004 dan siapa sangka 20 tahun kemudian, saya masih dengar dan nikmati liriknya yang ditulis penuh puitis. 2 hari lepas saya baru saja menyambut ulangtahun saya yang ke-46. Bermakna ketika lagu 100 Years ni keluar saya masih dalam pertengahan 20-an, masih muda seperti kalian. Di bawah adalah antara senarai hal-hal yang saya tak pernah terfikir ketika lagu ni keluar, yang saya akan kecap dalam hidup sehingga kini. 1. Saya jadi penulis dan dah hasilkan 12 novel, satu kumpulan cerpen (Cerpen Shaz Johar), dan puluhan cerpen, certot, cerpan dan yang seumpama dengannya. Tualang merupakan novel terkini daripada saya, diterbitkan oleh Buku Fixi pada tahun ini. 2. Saya bergelar editor dan penterjemah novel. Saya sudah menyunting beberapa karya berbahasa Melayu juga menterjemah beberapa karya Inggeris ke Bahasa Melayu, daripada Salla Simukka hingga ke John Green. 3. Saya dipilih sebagai juri sayembara kelolaan Buku Fixi 2021/2, diundang ke Hamburg University di Germany untuk berbual dengan pelajar di sana tahun 2018, diundang ke Jakarta dan Makassar, Indonesia untuk ASEAN Literary Festival dan Makassar Writers Festival pada tahun 2017. Dan yang paling penting, saya masuk TV1 RTM pada tahun 2015 untuk promosi novel keempat saya yang berjudul Nota. LOL. 4. Novel pertama saya, Kougar, menang award tahun 2011. Selain tu baru2 ni cerpen saya berjudul Kisah Seekor Katak Yang Ingin Terus Kekal Menjadi Berudu pula menang anugerah saguhati dalam Pertandingan Cerpen Dan Cerpen Mini Bahasa Jiwa Bangsa anjuran bersama Cereka dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya ni jarang menang apa2 so sekali-sekala dapat hadiah rasanya lain macam. 5. Saya juga telah menulis dua buah skrip filem. Satu tahun 2021 dan satu lagi 2022. Satu dapat dana daripada Finas, satu lagi saya tulis untuk Pertandingan Skrip untuk Filem Seram/Thriller anjuran Kuman Pictures & Entropy. 6. Saya dah merantau ke pelusuk dunia. Negara pertama yang saya lawat adalah Australia pada tahun 2003 dulu dan hingga kini saya sudah jelajah hampir ke semua benua dengan penuh onak dan duri. Setiap satunya berikan saya kenangan dan pengalaman yang manis. *Tahun ni sepatutnya ke Jepun (Kyoto, Osaka, Tokyo) atas jemputan menulis tapi atas sebab2 keselamatan terpaksa ditangguh. Tak apalah belum ada rezeki. 7. Saya masih lagi dengan Kris, teman terulung yang dah terlalu banyak melayan kerenah saya sejak 2002. Teman bergaduh, teman bersukaria. Teman saya sampai ke (lebih) tua. Huhuhu. 8. OK yang ni pulak kisah sedih. Saya sebenarnya ada terfikir yang mungkin satu hari nanti salah satu atau semua novel saya akan diharamkan tapi tak sangka pula ia betul2 terjadi,. Ahaks. Kisahnya, novel kesembilan saya berjudul Aku telah diharamkan sekitar bulan Februari lalu. Sebuah buku yang menceritakan tentang kehilangan dan depresi seorang lelaki separuh usia. Sesuatu yang jarang disebut dalam mana-mana karya di Malaysia, lebih-lebih lagi kerana ia menyentuh isu LGBT yang bagi kerajaan Madani ia terlalu tabu untuk dibincangkan. Kasihan. 9. Lagi kisah sedih. Saya hilang Mak saya di Kuala Lumpur pada tahun 2020 setelah bertahun-tahun beliau melawan sakit buah pinggang, jantung dan kencing manis. Pada tahun 2021, one of my best friends (siapa yang kenal saya tahulah saya ni tak suka biak kawan) pun meninggal dunia atas masalah jantung. Dan bulan lepas, Kris pula hilang Mak dia setelah dua tahun bertarung dengan AML. Satu demi satu kehilangan berlaku hingga ia sedikit sebanyak menjentik hati saya untuk lebih bersabar dan menghargai insan sekeliling. 10. Lagi satu yang paling tak dijangka. Saya dapat saksikan bagaimana Covid-19 menyerang dunia sehingga semuanya lumpuh, terkurung dan terpuruk layu. Saya pun terkena juga Covid ni sekitar November lalu tapi mujur tak teruk. Orang kata Tuhan turunkan kepada saya untuk menghapuskan dosa-dosa kecil yang pernah saya buat. Dosa-dosa besar tak tahulah dapat terhapus atau tidak. Itu urusan saya denganNya. Dan last but definitely not the least, berbalik pada kisah gumbira. 11. Saya dapat menyambut usia baru dengan sukses bertemankan Kris dan dolphins liar di tengah laut di bumi Amerika. Satu pengalaman baru yang menyeronokkan. Tahun depan mungkin dapat tengok ikan paus pula. Atau aurora. Dua benda yang saya teringin nak saksikan at least sekali dalam hidup. OK, itu saja yang saya ingin coret kali ini. Sebagai penutup 2023 yang bakal melabuhkan tirainya, harapan saya semoga 2023A akan membawa lebih banyak kegembiraan, ketenangan dan keamanan buat kita semua. Dan sama-samalah kita berdoa agar Tuhan izinkan saya untuk terus berkarya lagi. Kita jadikan doa hari ini sebagai kisah klasik kita untuk masa depan, OK? Bismillah. ps: let me take this space to thanks all my readers, who have offered so much love and support. Semoga Tuhan melukis hidup kalian seindah pelangi.
0 Comments
Leave a Reply. |
AuthorShaz Johar. Archives
December 2024
Categories |