Selamat menyambut tahun 2022 semua! Sudahkah anda mula mencatat azam baru yang bakal dilaksanakan? Atau copy paste saja azam lama yang tidak tertunai? Shaz Johar kembali lagi bersiaran dan entry blog kali ini khas didatangkan jauh dari bumi Florida, Amerika Syarikat. Bagaimana saya boleh tercampak di sini? Apakah kejutan yang cuba saya lakukan? Well, ini semua berlaku secara mengejut kerana ia tiada pun dalam perancangan asal. Niat asalnya sewaktu tinggalkan Malaysia dulu ingin bermain salji di bumi Hamburg, tapi apakan daya segala-galanya terpaksa dirombak pada saat-saat akhir. Kisahnya begini. Dua minggu lalu saya dan Kris mendapat perkhabaran tentang keadaan kesihatan ibu di sini. Ibu telah disahkan menghidap Acute Myeloid Leukemia dan perlu menjalani rawatan segera di hospital. Ketika blog ini ditulis, ibu masih lagi berada di hospital untuk menjalani rawatan chemotherapy dan rawatan-rawatan susulan selama 35 hari di sana. Dan apa yang lebih menyedihkan, kesihatan bapa di sini juga tidak menyenangkan. Bapa merupakan seorang pesakit dementia dan setelah hampir dua minggu berada di sini saya dapat lihat sendiri momen-momen ingatannya yang tiba-tiba berubah atau menyusut. Satu perkara yang membuat saya tersentuh adalah bila dia terlupa dia baru saja pulang dari melawat isterinya di hospital dan bertanya apa yang dibualkan oleh mereka berdua di situ. Hmmm... Semua pengalaman ini bagi saya amat berharga kerana ia banyak mengajar saya untuk lebih menyayangi dan menghargai setiap detik yang berlaku dalam diri sendiri, orang lain dan alam sekeliling. Bercerita tentang alam, sebaik saja mendarat di bumi Amerika dua minggu lalu, saya dikejutkan pula dengan kejadian banjir besar yang menimpa tanahair. Saya rasa amat berang kerana ini bukanlah kisah baru. Ini juga bukan ujian Tuhan atas dosa dan maksiat yang kita lakukan. Ini semua kesan kerakusan tangan-tangan jahat yang telah terlalu selesa hidup berlapikkan hamparan wang-wang korupsi. Ini semua hasil kerja mereka-mereka yang haloba. Dan siapa yang jadi mangsanya? Kita, rakyat/pacal yang hina. Kepada semua mangsa yang terlibat, takziah saya ucapkan. Ini pesanan saya, jangan jadikan tabung wang simpanan hari tua anda, atau seribu ringgit, atau sekotak makanan bertampal wajah pak-mak menteri yang dihulur oleh mereka-mereka itu cukup untuk membuatkan anda alpa dan membiarkan banjir demi banjir membawa maruah anda hanyut. Ingat pada setiap lelah dan keringat yang keluar setiap kali anda menolak selut dan lumpur di rumah. Ingat pada setiap nyawa keluarga atau kenalan yang hilang. Ingat pada setiap harta yang telah tumbang dan rosak. Ingat pada setiap najis cicak dan unggas yang dibasuh menteri. Ingat pada pembesar yang hanya datang untuk mengangguk dan menunjuk. Dan ingat juga pada golongan yang sesuka hati mengambil kredit atas kerja sukarelawan lain. Ingat semua tu. INGAT! OK. Dah cukuplah tu merentah. Saya sudahi entry kali ini dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Amin. Ps: Semalam sebenarnya merupakan hari jadi saya yang ke 13A++. Kena sebut 3A sebab 4 itu maksudnya mati. LOL. Anyway, kepada semua yang telah menghulurkan ucapan selamat, saya ingin ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Setiap kata-kata manis kalian itu akan saya tampal di dalam hati dan hadiah terbaik yang saya terima dalam hidup ini datangnya daripada kalian yang tidak putus-putus menyokong dan menyayangi saya seadanya. Masya Allah.
0 Comments
Leave a Reply. |
AuthorShaz Johar. Archives
February 2024
Categories |